BATIK BUATAN MALAYSIA
Asal usul batik masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini. Ada pendapat yang mengatakan batik berasal dari India dan
ada pula mengatakan ia dari Parsi. Pakar arkeologi pula pernah menjumpai cebisan kain berupa batik di Mesir menghiasi pakaian
mereka dengan teknik menyerupai batik pada tahun 70 masehi lagi.
Namun para pengkaji mempercayai ia berasal dari kepulauan Melayu dan bahawa terdapat pemikiran di antara Asia Tenggara
dan India pada zaman dahulu yang membawa batik menjelajah ke benua lain. Terdapat juga kemungkinan bahawa batik tiba di Mesir
dari kepulauan Melayu melalui India memandangkan seni mengecap lilin ke atas kain kain adalah seni warisan Melayu berdasarkan
rumusan pengkajian sejarahwan Winstedt dan Skeat.
Seni begini tidak pernah terdapat dalam tradisi budaya India.Teori ini diperkuatkan dengan perkataan batik itu sendiri
berunsurkan Melayu dan Jawa iaitu titik dan amba (tulis).
Pendapat mengenai asal-usul batik bukan sahaja berdasarkan nama tetapi juga berdasarkan kepelbagaian teknik. Batik Pelagi
misalnya, menggunakan teknik ikat celup dikenali di Malaysia dan di Indonesia sebagai pelangi atau titik yang mengambil kira
kepelbagaian warna pelangi.
Definisi batik dipercayai berasal daripada Indonesia yang mana diambil daripada perkataan Melayu untuk titik dan Jawa
'mba' ertinya menulis. Oleh itu batik bererti menulis titik-titik yang dimaksudkan di sini sama ada berupa
titik-titik dalam ertikata sebenar atau berupa bunga-bunga dan lain-lain motif kecil di atas permukaan kain. Kemudian,
teknik untuk mewujudkan motif-motif itu bergantung pada zaman dan ruang.
Perusahaan batik di Malaysia dikategorikan kepada beberapa jenis iaitu Batik Blok, Batik Tulis, Batik Skrin serta Batik
Pewarnaan Asli, dan setiap satunya mempunyai keistimewaan dan keunikan yang tersendiri. Melihatkan kepada
ciri-ciri versatile pada tekstil ini, batik ditampilkan dalam pelbagai guna seperti fesyen tradisional dan kontemporari
mahupun aksesori tambahan serta hiasan dalaman. Batik melihatkan kelainan mengikut pilihan kain yang digunakan seperti kain
kapas, kain sutera, campuran kain sutera dan kain kapas, kain rayon, kain voile, kain organza mahupun kain chiffon. Kehalusan
jahitan sulaman serta jahitan manik yang disuaipadankan pada batik menyerlahkan lagi keanggunan pemakai.
2. JENIS-JENIS BATIK
Batik adalah seni kraf tekstil tradisi Melayu yang masih unggul hingga ke saat ini, dan ianya berpotensi menembusi pasaran
antarabangsa. Corak dan kombinasi warnanya yang tidak lekang dek peredaran fesyen antarabangsa
tanpa meninggalkan ciri tradisi tetap menjadi pilihan.
Terdapat beberapa teknik menghasilkan batik. Antara teknik utama ialah Batik Blok, Batik Tulis, Batik Skrin dan Batik
Perwarnaan Asli.
2.1 BATIK BLOK
Batik Blok dikenali juga sebagai Batik Terap atau Batik Pukul merupakan salah satu daripada seni kraf buatan tangan tradisional
yang terkenal di Malaysia.Ia dihasilkan melalui proses penerapan lilin dan penerapan warna. Sejarah
perkembangan batik di Malaysia dipercayai bermula pada abad ke-15 Masihi dan ianya terus berkembang terutama selepas tamat
Perang Dunia Kedua.
Pengusaha batik di Kelantan dan Terengganu merupakan perintis kepada perkembangan batik di negara ini. Hasil hasil batik
tempatan tinggi mutu ciptaan dan rekacoraknya dan ianya melambangkan kerja tangan masyarakat tempatan.
Di Malaysia, teknik terawal yang diperkenalkan ialah Batik Blok. Proses awal dalam perkembangan membuat Batik Blok adalah
menggunakan ukiran sarang acuan kayu dengan menerap sejenis pewarna hitam dan teknik awal ini dikenali sebagai 'terap hitam'.Pada
tahun 1930 an, penggunaan lilin dalam proses penerapan mula diperkenalkan oleh pembuat batik di pantai Timur. Sejajar dengan
itu, acuan yang diperbuat daripada kepingan keluli mula digantikan dengan acuan kayu sebelumnya.
Corak-corak acuan ini lebih kemas dan halus buatannya.Acuan khas disediakan untuk menerap lilin pada sarung di bahagian
kepala kain, kapit kain, badan kain dan kaki kain.
Batik Blok adalah adaptasi daripada unsur alam semulajadi. Kebanyakannya berdasarkan kepada flora dan fauna. Corak flora
dipilih daripada bahagian-bahagian tumbuhan yang ditiru berasaskan bentuk bunga. Gubahan motif dan corak direka secara realistik,
abstrak dan stilisasi dalam bentuk
geometrik atau organik.
Antara motif flora yang digunakan untuk mencorak batik
ialah pucuk rebung, pohon ara, bunga tampuk manggis, bunga mangga, bunga cempaka, bunga buluh, bunga maman, bunga kerak
nasi, bunga berbaling, bunga raya, daun keladi, bunga kenaga dan beberapa lain lagi. Manakala bagi motif fauna yang popular
ialah seperti jaring ikan dan ayam.
2.2 BATIK TULIS
Pengeluaran komersil Batik Tulis di Malaysia hanya bermula sekitar tahun 1960 an dan memuncak pada awal tahun 1990 an.
Pengeluarannya tidak lagi tertumpu kepada Kelantan dan Terengganu, malah telah berkembang ke bandar-bandar seperti Kuala Lumpur,
Johor Bahru, Pulau Pinang, Melaka, Pekan di Pahang dan Sabah.
Batik Tulis dipercayai warisan dari batik Kraton, Jawa. Sungguhpun dihasilkan menggunakan kaedah yang sama iaitu lakaran
canting, wujud perbezaan dari segi ciri-ciri rekaan malah juga estetik dan teknik pengeluran antara kedua-duanya.
Batik Tulis juga dikenali sebagai Batik Canting. Ianya diperbuat daripada pelbagai jenis kain termasuk kapas, rayon, voile
dan sutera. Ragam hiasnya terdiri daripada motif tumbuh-tumbuhan serta corak geomatrik. Reka coraknya
juga mempunyai pelbagai susunan mengikut permintaan semasa.
Pengeluaran Batik Tulis dibuat dengan menggunakan canting. Canting merupakan bekas tembaga kecil bagi menakung lilin cair
yang panas didalamnya serta mempunyai saluran kecil yang dapat mengeluarkan lilin cair. Ia mempunyai pemegang supaya mudah
digunakan. Canting disikan dengan lilin panas dan dilukiskan melalui hujung saluran canting ke atas kain yang telah diregangkan
di atas pemidang mengikut rekacorak yang dikehendaki. Kain yang telah dicanting diwarnakan, dikeringkan, dimatikan warna dan
direbus bagi mengeluarkan lilin sebelum dikeringkan sekali lagi.
Terdapat lima jenis canting iaitu canting burung, canting kasut, canting periuk, canting bola dan canting pelbagai mata.
Pengenalan teknologi dalam pengeluaran Batik Tulis ialah I.C.A.T.S. Ia merupakan nama singkatan dari Sistem Tjanting Bersepadu
Berbantukan Komputer - Integrated Computer Aided Tjanting System. Ia satu sistem peralatan yang menjalankan proses tjanting
secara automatik. I.C.A.T.S terbahagi kepada dua sistem komputer iaitu Sistem Komputer Rekaan dan Sistem Komputer Kawalan
I.C.A.T.S.
Ia membolehkan lukisan bebas digunakan, yakni sesuai untuk mereka corak-corak seperti bunga, daun dan sebagainya. Lukisan
dan simbol boleh dilukis dan disimpan di dalam komputer untuk tujuan membangunkan satu khazanah corak-corak.
Antara ciri-ciri yang terdapat pada perisian ini adalah kemudahan potong dan tampal sesuatu corak yang sedang dibuat.
2.3 BATIK SKRIN
Batik Skrin dibuat dengan mengunakan blok skrin. Blok skrin disediakan berasaskan rekacorak yang dikehendaki. Bilangan
blok yang disediakan bergantung kepada bilangan warna kain yang dikehendaki di mana setiap blok skrin boleh dicetak satu warna.
Di dalam proses penyediaan blok skrin secara manual, rekaan diambil gambar,filem dicuci, dibuat pengasiangan warna dengan
memotong dan menampalkan filem di atas plastik.
Ia seterusnya didedahkan kepada cahaya di atas kain sutera
saring yang diregangkan di atas bingkai dan telah disapukan dengan photo emulsion di atasnya.
Kemudian blok skrin itu dibersihkan bagi menghasilkan rekaan di atasnya. Blok skrin yang telah disediakan, digunakan untuk
mencetak kain dengan pewarna yang dikehendaki di atas meja skrin. Kain yang telah dicetak dikeringkan dan dimatikan warnanya
sebelum dibasuh dan akhirnya dikeringkan semula. Percetakan kain boleh diulang beberapa kali bergantung kepada bilangan warna
yang dikehendaki.
Satu pendekatan baru yang berkonsep teknologi maklumat yang dirancang oleh Kraftangan Malaysia, khasnya di Kraftangan
Malaysia Cawangan di Kelantan dengan memperkenalkan System Atex Design iaitu proses perisian menghasilkan rekacorak batik
secara pengendalian komputer yang dijangka akan mempercepat proses pengeluaran dan menjimatkan kos dalam jangka masa panjang.
Kelebihan proses Atex Design berbanding proses rekaan skrin secara manual. Cara ini dapat menghasilkan rekaan dengan baik
dan cepat. Proses grafik juga dapat dilakukan dengan cepat dan mudah.
2.4 BATIK PEWARNAAN ASLI
Pengenalan semula penggunaan warna asli daripada tumbuh-tumbuhan tempatan merupakan satu alternatif dan berkonsep mesra
alam.Pengembalian semula kaedah ini wujud atas kesedaran masyarakat tempatan tentang budaya sihat dan mesra alam.
Batik Pewarnaan Asli turut mengaplikasikan pelbagai teknik untuk menghasilkan kreativiti batik yang berlainan ragam iaitu
kombinasi teknik ikat iaitu gabungan tie and dye dengan blok dan batik lukis & tie and dye dengan skrin.
3. PENJAGAAN BATIK
Batik memerlukan penjagaan yang mudah. Kaedahnya, bagi cucian pertama batik,adalah digalakkan supaya digunakan cara cucian
kering (dryclean) dengan kos kurang RM10 bagi sepasang baju. Tujuannya ialah untuk menjaga kilatan
pada batik. Pilihan lain, batik boleh dicuci terus tetapi cucilah berasingan dengan cucian yang lain dan hendaklah dijemur
di tempat redup dan tidak terdedah kepada matahari bagi menjaga ketahanan batik.
Manakala untuk memudahkan batik digosok, penggunaan semburan pelembut pada batik adalah baik untuk diamalkan.
4. SERAMAI 320 USAHAWAN BATIK BERDAFTAR DENGAN KRAFTANGAN MALAYSIA
Di Malaysia terdapat seramai 320 usahawan batik yang berdaftar dengan Kraftangan Malaysia yang bergiat aktif dalam pengeluaran
batik. Secara keseluruhannya, Negeri Kelantan dan Terengganu adalah antara negeri yang mempunyai jumlah pengusaha tertinggi
dalam pengeluaran batik. Namun begitu,perusahaan batik turut juga berkembang di setiap negeri di Semenanjung juga di Sabah.
Sumber : Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
________________________________________________________________________________________________
e-batik@yahoo.com
* Wakaf Che Yeh * Kota Bharu * Kelantan * 01234
COPYRIGHT © 2008 e-BATIK . ALL RIGHTS RESERVED
|